Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my
GEORGETOWN: Ketika UDA Holdings Berhad (UDA) yakin pembangunan semula Kampung Tanjong Tokong di sini, boleh dimulakan akhir tahun ini, sebahagian penduduk pula melancarkan kempen mengutip tanda tangan membantahnya.
Penduduk membantah kerana UDA didakwa tidak bersedia mewujudkan kampung warisan Melayu di perkampungan berusia lebih 200 tahun itu bagi projek yang nilai pembangunan kasarnya RM800 juta.
![]() PENDUDUK Kampung Tanjong Tokong berkumpul meminta kemelut penempatan mereka segera diselesaikan. |
Dengan sokongan pencinta warisan Melayu, tanda tangan yang dikumpul akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan campur tangan Kerajaan Pusat.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Tanjong Tokong, Mohd Salleh Yahya, berkata pihaknya akan merayu campur tangan Perdana Menteri bagi memastikan pembangunan semula kampung itu mewujudkan kampung warisan Melayu.
![]() |
SALLEH menunjukkan keratan akhbar lawatan Perdana Menteri Kedua ke Tanjong Tokong pada 1972. |
Beliau turut menunjukkan keratan akhbar Straits Echo bertarikh 11 April 1972, yang menyiarkan kenyataan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, yang menyatakan penduduk Tanjong Tokong akan menikmati kemudahan lebih baik ketika menghadiri majlis di perkampungan itu.
"Pembangunan Tanjong Tokong yang bermula dengan pembabitan Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Razak wajar diselesaikan oleh anaknya yang kini menjadi Perdana Menteri Keenam.
"Saya harap Najib akan campur tangan kerana UDA yang sudah berada di sini sejak 35 tahun lalu gagal menyelesaikan masalah penduduk," katanya ketika ditemui di kampung itu.
Mengikut perancangan, UDA akan membangunkan perkampungan seluas 9.6 hektar itu dengan projek perumahan dan komersial secara berperingkat dengan penduduk dipindahkan ke perumahan sementara.
Apabila projek itu siap, setiap keluarga yang layak akan diberikan unit pangsapuri. Bilangan keluarga yang dikatakan layak sentiasa berubah-ubah dengan terbaru sebanyak 1,026 keluarga.
Setakat ini, 65 peratus daripada 243 keluarga yang terbabit dalam fasa pertama projek itu sudah berpindah ke penempatan sementara yang terletak bersebelahan perkampungan itu.
Baru-baru ini, Pengarah Urusan UDA, Datuk Jaafar Abu Hassan, yakin fasa pertama projek itu dapat dimulakan apabila proses rundingan dengan penduduk selesai akhir tahun ini, tetapi membayangkan pihaknya tidak mungkin mewujudkan kampung warisan Melayu.
Mohd Salleh berkata, penduduk perlu menyokong tindakan yang dilakukan persatuan bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin, tambahan lagi UDA sudah mengisytiharkan semua rumah di kampung itu sebagai setinggan.
Katanya, apabila penduduk keluar dari kampung itu, mereka tidak boleh berbuat apa-apa lagi kecuali dengan ihsan UDA.
"Penduduk harus sedar UDA menafikan (hak) dan secara halus merampas hak warisan penduduk Tanjung Tokong apabila mengikrarkan dengan akuan bersumpah (UDA menganggap penduduk sebagai setinggan)," dakwanya.
Sementara itu, Setiausaha persatuan berkenaan, Abdul Wahab Sini Ibramsa, kecewa apabila mereka dianggap sebagai setinggan oleh UDA sedangkan sudah menetap di perkampungan itu sejak beberapa generasi.
"Kami bukan setinggan dan tak mungkin akan hilang begitu saja selepas menetap lebih 200 tahun," katanya yang meminta semua penduduk menyokong persatuan untuk mendapatkan campur tangan Pusat," katanya.
"Cara untuk mendapatkan semula hak kami adalah dengan menjadikan kampung ini warisan Melayu," katanya.
Penduduk, Zaharuddin Hashim, 70, meminta penduduk bersatu mempertahankan warisan nenek moyang.
"Jika semua bersatu, kita akan berjaya," katanya.
Rajli Abdul Aziz, 60, berkata penduduk tidak menentang pembangunan semula tetapi tidak boleh mengorbankan warisan Melayu yang sudah berusia lebih 200 tahun.
No comments:
Post a Comment